Taqwa merupakan natijah (hasil) tabie daripada keimanan yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah; merasa takut terhadap murka dan azab-Nya, dan selalu berharap limpahan kurnia dan maghrifah-Nya.
Atau sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama.; taqwa juga bermaksud Allah Subha Nahu Wa Ta’ala tidak melihat kamu berada di dalam larangan-laranganNya dan tidak kehilangan kamu dalam perintah-perintah-Nya.
Sebahagian ulama lain mendefinisikan taqwa dengan mencegah diri daripada azab Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan membuat amal soleh dan takut kepada-Nya dikala bersendirian atau dikhalayak ramai.
Perhatian Al-Quran terhadap sifat taqwa begitu besar. Perintah dan sokongan untuk melaksanakannya pun banyak kita temukan dalam ayat-ayatnya, bahkan pada hampir setiap halaman Al-Quran pasti kita temukan kalimah taqwa.
Dalam satu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Al-Khattab ra. bertanya kepada Ubai bin Ka’ab tentang taqwa. Ubai ra. menjawab, “Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?”
“Ya,” jawab Umar.
“Apa yang anda lakukan di saat itu?”
“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa!”
Berdasarkan jawapan Ubai bin Ka’ab atas pertanyaan Umar bin Khattab tersebut, Sayyid Qutb berkata dalam tafsir “Fi Zilalil Quran”;
“Itulah taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus, selalu waspada dan hati-hati agar tidak sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang bertaburan duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, harapan atas segala sesuatu yang tidak bisa diperolehi. Ketakutan palsu daripada sesuatu yang tidak layak ditakuti.. dan banyak duri-duri lainnya.”
Cukuplah kiranya, keutamaan dan pengaruh taqwa sebagai sumber segala kebaikan dalam masyarakat; sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan perbuatan dosa… bahkan taqwa merupakan asas utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka berhadapan dengan fenomena kehidupan; yang mana dengannya ia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk; serta bersabar di atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat taqwa.









