Pujangga Cina ada menyebut, “Secara semulajadi semua manusia itu sama, tetapi ilmu menjadikan mereka cukup berbeza.” Itulah hakikat kehidupan, golongan bijak pandai akan terus maju ke hadapan meninggalkan golongan yang kurang berilmu terkebelakang.
Sungguh, ilmu menjadi ukuran semenjak dulu lagi. Plato, Ibnu Sina dan ramai lagi diingat-ingat hingga kini kerana ilmunya. Beruntunglah kalian yang bergelar mahasiswa kerana berpeluang menggali sebayak mungkin apa itu yang dinamakan ilmu. Persolannya, berapa ramai yang sedar dan bersegera menggunakan peluang di kampus ini untuk menuju puncak ilmu walau menuntut ilmu itu tidak pernah ada penghujungnya.
Peperiksaan kini merupakan penanda aras keberjayaan seseorang walaupun ia hakikatnya bukanlah kayu ukur yang mutlak. Berjaya dalam peperiksaan merupakan satu tanggungjawab buat diri sendiri selain dari menggalas harapan kedua ibu bapa yang menggunung tinggi. Dalam al-Quran juga disebut berulang-ulang kali perihal kejayaan. Seperti sabda Nabi s.a.w, ’Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.’ (Riwayat Abu Daud). Oleh itu, berusahalah dengan tekun dan sabar dalam mengejar kejayaan.
Sekiranya kita kurang berjaya, ingatlah kejayaan belum tiba buat kita. Sungguh, bukan mudah untuk menempa kejayaan kerana banyak ujian dan dugaan yang perlu dilalui terutamanya dari dalam diri sendiri. Namun, kegagalan semalam bukanlah alasan untuk kita tidak berjaya hari ini mahupun akan datang. Sesungguhnya orang mukmin yang baik itu ialah seseorang yang hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok pula lebih baik dari hari ini.
Pastinya kejayaan sebenar ialah apabila seseorang mendapat kejayaan bukan sahaja dalam peperiksaan tetapi juga dalam kehidupan. Segala ilmu yang diperoleh di bilik kuliah diamalkan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sungguh, tiada guna jika berjaya dan berilmu tetapi terus sombong meninggi diri. Ambillah iktibar daripada resmi padi, semakin berilmu semakin tunduk mengenal kelemahan diri. Kita tidak lain tidak bukan hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa dan tidak mengetahui apa-apa melainkan apa yang dikurniakan dan diajarkan oleh-Nya.
“Mereka menjawab, “Maha suci engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, engkaulah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah:32)
Buat seluruh mahasiswa, saya mewakili PMIUM mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuh peperiksaan akhir semester yang bakal tiba. Kami juga mendoakan kejayaan buat kalian semua. Moga dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kita semua diberi anugerah kejayaan dari Allah.
“Berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih baik menjadi paling baik.” -Larry Bielat
*penulis merupakan Muhammad Safwan Anang @ Talib, presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Artikel ini ditulis sempena musim ‘study week’ sebelum berlakunya peristiwa 1 Januari 2011.









