Binalah takwa walau sedikit demi sedikit (part 2)

Published on December th, 2011

 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? (Al-ankabut:1)

Begitulah pesanan dan peringatan Allah kepada orang-orang yang beriman melalui ayat-Nya. Meneruskan detik-detik kehidupan, hakikatnya bukan mudah untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Pastinya ganjaran yang besar tersedia buat hamba-hamba Allah yang dapat bermujahadah demi menyuburkan iman di dalam hati.

Dalam mengatasi ujian-ujian tersebut, demi mengecapi sebuah ketakwaan, seorang muslim itu mesti memegang beberapa prinsip dalam hidupnya. 5 prinsip sudah diterangkan pada artikel sebelum ini http://pmium.net/2011/12/04/berusaha-menggapai-ketakwaan/, berikut merupakan 6 lagi prinsip yang perlu kita hayati bersama.

1)      Cinta

Cinta di dalam hati merupakan asasnya bagi melahirkan takwa. Tanpa cinta, ukhuwwah hilang manisnya, tanpa cinta, aturan menjadi beban. Wujudnya rasa cinta dalam hati kepada-Nya menjadikan segala perintah dan aturan-Nya, terasa ringan dan mudah. Malah, tidak pernah puas dalam mengabdikan diri kepada-Nya.

manisnya cinta-Nya

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah sangat berat azab-Nya (nescaya mereka menyesal)”. (surah al-Baqarah:165)

 

2)      Raja’ (harap)

Hayati firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 218:

Sesunggunya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah maha pengampun, maha penyayang.

Orang-orang yang beriman sentiasa mengharapkan rahmat dari Allah dalam hidup ini dan sentiasa merasa risau akan kehilangan rahmat-Nya. Sungguh pada bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik rahmat-Nya. Kita berada dalam nikmat iman dan islam pada hari ini,  beribadah kepada-Nya pada hari ini juga adalah kerana rahmat-Nya. Dengan rahmat-Nya jua, orang-orang yang beriman masuk syurga.

 

3)      Khauf (takut)

Khauf dan raja’ tidak dapat dipisahkan. Orang beriman sentiasa mengharapkan rahmat-Nya dan dalam masa yang sama sentiasa takut akan azab seksa Tuhan-Nya. Sedangkan terkena air panas yang sedah mendidih, sakitnya sudah tidak terperi, apatah lagi api neraka yang berkali ganda lebih panas. Tidak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya azab api neraka.

Begitulah orang yang beriman, betapa takutnya pada Allah, takut juga amalan-amalan yang dilakukan tidak diterima. Oleh sebab itu, mereka begitu menjaga setiap perbuatan dan melakukan yang terbaik, zahir dan batin.

Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar yang akan menghempapnya manakala ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di hidungnya; apabila ia mengisyaratkan dengan tangannya, maka lalat itu akan lari.”

(Hadis riwayat Bukhari)

 

4)      Doa

Doa merupakan cara kita berhubung dengan Allah. Orang yang beriman itu sentiasa ‘online’ dengan Allah, tidak terlepas walau 1 saat dalam ingatannya kepada Allah. Subhanallah..~

berdoalah tika hujan turan

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Tiga doa yang sangat mustajab iaitu doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir” (Riwayat Ahmad, Bukhari,Abu Daud &al-Tarmizi)

 

5)      Taubat

Sungguh, setiap anak adam itu pasti berdosa dan yang terbaik adalah orang sentiasa bertaubat kepada-Nya. Setiap detik merupakan masa terbaik untuk bertaubat kerana kita tidak tahu besok atau lusa boleh jadi ajal datang menjemput. Sudah bersediakah kita untuk kembali bertemu dengan-Nya?

Dan hendaklah kamu memohon ampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai waktu yang telah ditentukan. (surah Hud: 3)

 

6)      Khusyu’

Untuk menjadi mahasiswa cemerlang, mahasiswa mestilah fokus ketika pembelajaran di bilik kuliah, begitu juga dalam ibadat, khusyu’ itu sangat penting, agar ibadat yang dilakukan benar-benar berjaya melahirkan takwa. Itulah kejayaan yang sebenar..~

 

Orang mukmin itu berpegang teguh dengan prinsip seperti prinsip-prinsip di atas dalam menjana takwa dalam hati-hati kita. Sungguh, tiada siapa yang sempurna dalam dunia ini. Oleh itu, bersama berusaha memperbaiki diri ke arah kebaikan dan binalah takwa itu walau sedikit demi sedikit. Semoga Allah sentiasa mengilhamkan kita untuk sentiasa dekat dengan-Nya. Sesunngguhnya kami berserah pada-Mu ya Allah..~

 

walau tidak banyak perubahan, asalkan berusaha..~

 

 

 

 

Reply

Comment guidelines, edit this message in your Wordpress admin panel