Nilai, 11 Dis : Seorang pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) kelmarin diberitakan telah dirompak ketika sedang asyik menjamu selera di sebuah kedai makan di bandar Nilai, Negeri Sembilan.
Rompakan yang berlaku dalam sekelip mata itu menurut mangsa memang tidak disangka-sangkakan berdasarkan keadaan tempat dan situasi ketika itu.
Menurut mangsa yang enggan nama serta gambarnya disiarkan merupakan pimpinan Majlis Tertinggi PMIUM sesi 2011/2012 menceritakan waktu ketika berlaku kejadian itu sekitar pukul 5.00 hingga 5.30 petang hari Khamis.
“Kami ketika tu dari USIM jumpa seorang rakan yang baru konvo, selepas itu kami singgah di sebuah kedai makan di Nilai.
“Setelah kami selesai makan, lebih kurang 20 minit, kami terkejut melihat dari jauh cermin bahagian belakang kereta kawan saya pecah dan kaca bertaburan berhampiran pintu.
“Kami sudah mula tidak sedap hati. Kemudian bergegas kami periksa kereta dan dapati pintu semuanya berkunci.
“Bila saya periksa kereta, barang-barang milik saya kesemuanya dirompak.
“Alarm kereta langsung tidak kedengaran dari tempat kami makan, dan kami syaki perompak tidak buka kunci pintu, hanya pecahkan cermin kereta saja.
“Kerugian saya anggar sekitar RM6000. Yang hilang sebuah laptop, handset dan dompet yang di dalamnya mengandungi kad-kad bank saya berserta kad pengenalan.”, ceritanya yang kemudian menyatakan mereka bergegas ke sebuah balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Kejadian hampir sama berlaku di tempat berasingan
Tambahnya, ketika berada di balai polis, seorang pegawai polis turut menceritakan terdapat seorang mangsa turut membuat laporan kes yang hampir sama sebelum mereka tiba di balai polis berkenaan.
“Pegawai tu cakap masa saya kena tu (rompakan), telah terjadi satu lagi kejadian hampir sama (pecah cermin kereta) tapi jauh sikit dari tempat kami.
“Polis tu syaki mereka berkumpulan dan mempunyai alat pengesan untuk mengesan laptop dan barang berharga serta profesional.”, ujarnya.
“Sebab tu kami hairan, bagaimana kereta dalam keadaan berkunci baik itu masih boleh dirompak.
“Dan yang saya hairan lagi, laptop kawan saya yang berada berhampiran dengan laptop saya tidak pula diambil. Kawan saya cakap laptop dia tiada bateri (diasingkan) dan laptop saya lengkap berbateri, jadi mungkin dia kesan melalui bateri.”, tambahnya.
Mangsa dalam pada itu turut menyampaikan pesanan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap kejadian seumpana ini yang semakin kerap dipaparkan dalam media massa.
“Memang saya sedih tapi nak buat macam mana, benda nak terjadi. Saya terima ia sebagai peringatan Allah kepada kami supaya lebih berhati-hati selepas ini.” , ujarnya dalam satu kenyataan. – GZDaily










