Solat, Khusyuk Dan Sains

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman sekalin.Apa khabar iman teman-teman ? Bagaimana ibadah solat anda ? .Baiklah semoga kalian sentiasa dibawah lembayung rahmat Allah.
Saya ingin kongsikan kepada kalian sebuah artikel berkaitan dengan solat dan penemuan sains.Mungkin kalian pernah menjumpai dan membacanya.Mari sama-sama kita hayati dan kongsikan atau share di Facebook untuk bacaan rakan anda.
Kajian-kajian sains menunjukkan meditasi mendatangkan banyak kebaikan kepada kesihatan manusia. Pada tahun 1967 profesor Dr. Herbert Benson dari Fakulti Perubatan Harvard mendapati mereka yang bermeditasi menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Di samping itu jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya. Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Dr. Herbert Benson berpendapat meditasi mampu meredakan tekanan (stress) dan menjadikan seseorang lebih tenang lagi ceria.
Kajian yang melibatkan 90 orang pesakit kanser juga telah dilakukan. Mereka bermeditasi selama tujuh minggu. Kumpulan yang mengamalkan meditasi ini didapati kurang diserang masalah kesugulan, keresahan dan kemarahan berbanding kumpulan yang tidak bermeditasi. Tambahan dari itu mereka yang bermeditasi didapati lebih bertenaga dan kurang mengalami sakit jantung serta masalah pada sistem penghadaman. Kajian ini diterbitkan di dalam majalah Psychosomatic Medicine tahun 2000.
Solat yang dilakukan secara khusyuk boleh diibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya, dalam solat yang dilakukan secara khusyuk memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi biasa kerana solat yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah. Kalimat-kalimat dalam solat adalah pilihan Allah dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang diperoleh adalah ketenangan kurniaan Allah. Lebih dari itu mereka yang bersolat dengan ikhlas akan mendapat rahmat daripada Allah.
Solat Dan Yoga
Ada orang mengatakan solat adalah yoga. Sebenarnya solat bukanlah senaman ataupun yoga. Bagi orang-orang Islam solat adalah lebih agung dari sebarang senaman termasuk yoga. Solat ialah zikir yang paling mulia.
Dalam surah Al-Ankabut ayat 45 Allah berfirman,
“Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.” Dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, disebutkan, “Berkata Imam Nasafi, (ayat ini menunjukkan) solat adalah lebih besar dari segala ketaatan yang lain.”
Berhubung dengan yoga, Journal of the Royal Society of Medicine menganggapnya sebagai
“salah satu sistem pembangunan insan yang tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani.”
Yoga mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai asanas. Ketika mengamalkan yoga seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu untuk jangka masa tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimat mantra yang tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yoga atau asanas yang terpenting ialah Sirshasana (headstand). Ia dikenali juga sebagai Raja Yoga atau King of Yoga. Di kedudukan ini seorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya ke bumi dan di peringkat kemuncaknya akan meluruskan badan agar kakinya berada di atas. Sayangnya kedudukan sebegini tidak dapat dilakukan oleh semua orang. Oleh kerana kesannya yang positif yoga menjadi amat popular pada hari ini. Doktor-doktor di Harvard sering kali menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga bertujuan untuk menjaga kesihatan.
Jika dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga di dalam solat. Solat merupakan ibadah yang merangkumi “jasad, roh dan akal.” Ia mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai rukun fi’li. Ia juga mementingkan gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi. Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dan ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir. Salah satu kedudukan terpenting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan itu darah dari jantungnya akan turun ke otak dengan mudah sekali. Berbeza dengan sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh hampir semua orang.
Namun solat adalah lebih dari yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu. Ia adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta yang memerlukan disiplin kerana ia terikat dengan waktu. Seseorang yang hendak bersolat wajib membersihkan jiwanya dari kesyirikan terlebih dahulu sebelum memasuki solat untuk mengesakan Allah. Di samping itu pembersihan jasad dengan berwuduk adalah diwajibkan.
Oleh kerana ia adalah aktiviti pengabdian, pemakaian seseorang juga perlu menjurus kepada pengabdian dengan menutup aurat. Solat tidak hanya merupakan aktiviti individu, ia juga merupakan aktiviti kelompok. Justeru solat berjemaah adalah diwajibkan pada masa-masa tertentu berpandukan cara dan syarat yang telah ditetapkan. Justeru jika dibandingkan dengan yoda, solat adalah lebih lengkap dan komprehensif dan kesan jangka panjangnya adalah lebih mendalam.

Perkongsian Nurul Awatif Ahmad
Exco Dakwah dan Kebajikan
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya








