
Kuala Lumpur, 6 Dis : Mahasiswa bakal berpencak di Putrajaya esok!
Demikian amaran dan amarah aktivis-aktivis mahasiswa yang diberitakan bakal mengadakan piket (himpunan aman) di perkarangan Hadapan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya esok (Rabu).
Piket aman yang dijangka bermula tengahari pada jam 1 petang itu mensasarkan kehadiran seramai mungkin gelombang mahasiswa seluruh negara.
Rang Undang-undang Perhimpunan Aman menurut laporan telah diluluskan Dewan Rakyat selepas perbahasan kira-kira tiga empat jam oleh enam anggota parlimen minggu lalu di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang itu, yang mengharamkan demonstrasi jalanan dan membenarkan perhimpunan lain dengan beberapa syarat ketat, lulus dengan undi suara ketika ketiadaan anggota Pakatan Rakyat yang keluar dewan sebelumnya.
Mahasiswa desak rakyat diberi kebebasan berdemokrasi
Presiden PMIUM, Muhammad Safwan dalam kenyataannya berkata, sasaran jumlah mahasiswa yang akan hadir tidak ditetapkan.
“Kami tidak kisah seorang dua pun yang akan hadir esok.”
“Kerana bagi saya seorang dua yang hadir berpiket esok sudah cukup untuk mewakili 25 juta rakyat Malaysia yang kecewa dengan tindakan pihak kerajaan menggubal Rang Undang-undang baru minggu lalu.
“Kami akan desak kerajaan agar suara kebebasan, hak demokrasi rakyat Malaysia dikembalikan dan tidak disekat dengan undang-undang yang mengarut seperti ini.
“Saya yakin patisipasi gelombang mahasiswa akan muncul esok untuk sama-sama kita menjadi suara rakyat, sebagai ‘check and balance’ terhadap birokrasi kerajaan yang kian memuncak.”
“Ayuh mahasiswa! Saya seru semua anak muda dan mahasiswa untuk bersama-sama kami esok petang, bermula jam 1 kita berhimpun! Nyatatakan suara kita.. sama-sama kita bantah rang undang-undang perhimpunan aman yang dikeluarkan kerajaan!”, tegasnya yang juga Timbalan Presiden GAMIS 2011/2012.
Undang-undang rimba
Pada 24 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan rang undang-undang tu di Parlimen yang didakwanya meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malah turut mengambil kira kepentingan awam dan masyarakat setempat.
Rang undang-undang berkenaan dibacakan untuk kali kedua selepas dibentang untuk bacaan kali pertama pada 24 November lalu.
Bagaimanapun, bil itu menerima bantahan daripada pelbagai pihak dan dikatakan mencabuli semangat sebenar perhimpunan aman.
Ia dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis.
Antaranya, didakwa mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis.
Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan. – GZDaily










