Universiti Malaya , 5 Dis 2011 : Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya hari ini akan melancarkan kempen ALLAH is calling us iaitu kempen mengajak dan menyeru seluruh warga kampus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara keji dan mungkar.
Kempen ini memfokuskan kepada mahasiswa untuk menjaga ibadah utama iaitu solat atau sembahyang lima waktu. Secara umumnya PMIUM akan mengadakan gempur secara besar-besaran ke seluruh kawasan kampus iaitu fakulti-fakulti , kolej kediaman dan luar kampus serta kawasan umum.
PMIUM mengambil inisiatif ini bagi memberi peringatan kepada semua untuk menjaga ibadah solat lima waktu kerana solat itu adalah tiang agama.
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya, memastikan agar solat dilaksanakan dalam setiap keadaan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.
Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengajak seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang ingin mengikuti gempur besar-besaran KEMPEN : ALLAH is calling us boleh maklumkan kepada saudara Mohamed Bukhairy ( 013 9482413) dan saudari Nurul Awatif Ahmad.-pmium








