Perutusan Presiden PMIUM : Hijrah Rasul sentiasa tersemat dalam hati-hati yang beriman

Published on November th, 2011

Sebagai seorang mahasiswa, sekurang-kurangnya sudah 19 atau 20 tahun kita menyambut Maal Hijrah. Namun, sejauh mana sudah kita menghayati kedatangan awal Muharam ini?  Hakikatnya, peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi memainkan peranan yang sangat besar dalam penyebaran Islam.

Sungguh, kita sudah berada jauh ke hadapan meinggalkan zaman dan peristiwa tersebut. Namun, peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat tetap akan tersemat dan sentiasa dihayati dalam hati orang-orang yang beriman. Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah untuk umatnya tidak akan dilupakan begitu sahaja.

Seperti yang diketahui, ketika Islam mula-mula sampai kepada masyarakat Arab Mekah, mereka tidak menerima baik ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Hanya sebilangan kecil sahaja yang menerimanya. Mereka telah melalui pelbagai penderitaan, ancaman, pemulauan dan sebagainya. Betapa besarnya dugaan dan kesusahan yang dialami oleh umat Islam ketika itu.

Oleh itu, para sahabat  telah mengadu dan meminta izin kepada Rasulullah s.a.w.  untuk meninggalkan kota Mekah dan berhijrah ke Madinah. Rasulullah s.a.w.  telah membenarkan para sahabat berhijrah. Orang yang pertama keluar ialah Abu Salamah bin ‘Abdil Asad, diikuti oleh ‘Amir bin Rabi’ah dan isterinya, Laila binti Abi Hasymah.

Saidina Abu Bakar juga telah meminta izin kepada Rasulullah untuk berhijrah setelah beliau melihat para sahabat berduyun-duyun berhijrah. Namun begitu, Rasulullah s.a.w.  tidak mengizinkannya.Maka, Saidina Abu Bakar akur dengan arahan Rasulullah s.a.w.

Pihak Quraisy tidak pernah berpuas hati selagi penyebaran Islam tidak dihentikan, mereka telah bermesyuarat di rumah Ubai bin Kilab dan merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Mereka memilih seorang pemuda yang gagah dari setiap puak. Setiap seorang dari mereka diberi sebilah pedang yang tajam untuk membunuh Rasulullah.

Dengan kekuasaan Allah, malaikat Jibril telah diutuskan untuk memberitahu Rasulullah  supaya berhijrah dan melarang baginda tidur di tempat tidurnya. Rasulullah telah pergi ke rumah Saidatina Abu Bakar dan meminta beliau untuk menemaninya meninggalkan Kota Mekah. Kemudian, Rasulullah menemui Saidina Ali supaya menggantikan tempat tidur baginda pada malam hari. Subhanallah..betapa besarnya pengorbanan seorang sahabat yang sanggup menggantikan tempat tidur baginda demi Rasul yang tercinta. Begitulah teguhnya iman para sahabat..

Baginda Rasulullah bersama dengan Saidina Abu Bakar telah pergi ke gua Thur. Para musyrikin yang mengepung rumah Rasulullah s.a.w.  telah dipukau dengan kuasa Allah dan baginda berjaya melepaskan diri dari mereka. Namun begitu, jejak Rasulullah s.a.w.  dapat dikesan dan Suraqah bin Ja’syam dan mereka mengejar Rasulullah. Keajaiban telah berlaku apabila kuda yang dinaiki oleh Suraqah bin Ja’syam  tiba-tiba tersungkur ketika mahu mengejar Rasulullah.

Setelah melihat keanehan yang berlaku, Suraqah bin Naufal mengakui  bahawa itu adalah mukjizat Rasulullah s.a.w.  dan beliau meminta maaf kepada Rasulullah s.a.w. Setelah melihat akan kemukjizatan yang berlaku, dia berpatah balik dan mahu melindungi Rasulullah dengan merahsiakan pergerakan Rasulullah.

Alhamdulillah, akhirnya, Rasulullah selamat sampai di Madinah. Kedatangan Rasulullah ke Madinah telah disambut dengan meriah oleh kaum Ansar yang sangat menyintai Rasulullah s.a.w. Masing-masing menawarkan Rasulullah supaya menginap di rumah mereka dan baginda telah tinggal di rumah Abu Ayyub al-Ansari.

Begitulah peristiwa hijrah yang telah disusun oleh Allah dengan begitu cantik sekali dalam memberi kemenangan kepada Islam. Menyambut maal hijrah bukan semata-semata menyambut tahun baru. Ia seharusnya menjadi pencetus untuk menambahkan ibadah, memperbaharui iman serta menjernihkan hati-hati dari dosa.  Bersama melakukan transformasi ke arah kebaikan, kesalahan-kesalahan lalu dibaiki kembali dan seterusnya menghasilkan wajah dan watak yang baru.

Sungguh, pengorbanan Rasulullah dan para sahabat jauh lebih besar berbanding kita hari ini. Jika Rasulullah s.a.w.  sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan agama suci ISLAM mengapa kita tidak sanggup mengorbankan nafsu untuk memperbaiki diri dan menyumbangkan sesuatu untuk ISLAM. Bersama kita berusaha walau sekecil-kecil perkara dalam menyelusuri jalan dakwah yang telah dicetuskan oleh Rasulullah dan para sahabat. Tidakkah kita teringin utnuk menyambung mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w.  Jika bukan umatnya, siapa lagi?

Safwan Anang @ Talib

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Comments

  1. Posted by admin on November 28th, 2011, 15:36 [Reply]

    salam maaf hijrah

Reply

Comment guidelines, edit this message in your Wordpress admin panel